Saturday, October 19, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: 46,000 dipindah di Filipina

    MANILA, 26 DIS – Banjir Hari Natal di Filipina telah memaksa pemindahan hampir 46,000 orang dari kediaman mereka, pegawai-pegawai pertahanan awam berkata hari ini.

    Sebelas orang terbunuh dan 19 yang lain hilang selepas jumlah seminggu hujan lebat bermusim turun di rantau-rantau selatan dan timur negara itu, mengemas kini perangkaan rasmi terdahulu, menurut para pegawai.

    Banjir melanda selatan negara itu kelmarin, dengan bencana berkenaan memalapkan sambutan-sambutan pada hari paling penting di negara yang majoritinya Katolik itu.

    Sungai-sungai melimpah, membanjiri kampung-kampung dan lebuh raya luar bandar serta bandar-bandar Ozamiz dan Oroquieta, datuk bandar Henry Oaminal bagi wilayah Misamis Occidental berkata di radio kerajaan.

    “Pusat bandar dibanjiri termasuk pasar awam. Bekalan elektrik terputus dan tiada isyarat (telefon),” katanya, merujuk kepada Oroquieta, ibu kota wilayah itu dengan 72,000 penduduk.

    “Kami pernah mengalami banjir sebelumnya, tetapi ini merupakan hujan dan paras aliran air paling buruk pernah kami alami,” tambahnya.

    “Air meningkat di paras atas dada di beberapa kawasan, tetapi hujan hari ini telah berkurangan,” petugas pertahanan awam Robinson Lacre memberitahu AFP menerusi telefon dari bandar Gingoog, menempatkan 33,000 daripada 47,700 orang yang dipindahkan dari kediaman mereka.

    Pengawal pantai berkata, mereka menyelamatkan ahli-ahli lebih 20 buah keluarga di Ozamiz dan pekan Clarin berdekatan semasa kemuncak banjir.

    Tujuh kematian, kebanyakan akibat lemas, dilaporkan di Clarin dan pekan-pekan selatan Jimenez dan Tudela.

    Pengawal pantai juga berkata bahawa angin kuat dan ombak besar menenggelamkan sebuah bot nelayan pada Hari Natal di luar pesisir pulau tengah Leyte. Dua kru terbunuh, sementara enam yang lain diselamatkan.

    Dua yang lain, termasuk seorang anak damit perempuan, lemas di pekan-pekan timur Libmanan dan Tinambac selepas dilanda banjir beberapa hari sebelum Hari Natal, menurut pejabat pertahanan awam.

    Pengawal keselamatan berkata, mereka juga menyelamatkan 23 nelayan di atas dua buah bot yang karam apabila dilanda ombak besar di luar pesisir bandar selatan Zamboanga kelmarin.

    Sembilan belas orang masih hilang, kebanyakannya nelayan dari kawasan pinggir laut Pasifik negara itu yang pergi ke laut meskipun dengan keadaan berbahaya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda