TEHRAN, 14 April – Banjir di Iran telah mengorbankan 76 orang dan mengakibatkan kerosakan bernilai lebih AS$2.2 bilion dalam beberapa minggu ini, kata pegawai hari ini, dengan amaran masih dikekalkan di sebahagian besar negara.
“Dengan kematian lima orang akibat banjir di wilayah Khuzestan dan seorang lagi di wilayah Ilam, jumlah kematian sekarang telah mencecah 76 orang,” sejak 19 Mac, menurut satu kenyataan yang disiarkan di Internet oleh pejabat koroner.
Kedua-dua wilayah barat daya adalah wilayah terbaharu yang terjejas oleh banjir yang pertama melanda kawasan timur laut, memaksa beratus-ratus ribu orang berpindah dari bandar dan kampung.
Pegawai sekali lagi telah mengeluarkan amaran banjir untuk kawasan timur Iran dengan hujan lebat yang bermula semalam diramalkan akan berterusan.
Banjir telah mengakibatkan kerosakan besar dengan rumah, jalan raya, infrastruktur dan pertanian semuanya terjejas.
“Sebanyak 24 wilayah dan lebih 4,400 kampung di seluruh negara terjejas oleh banjir,” Menteri Dalam Negeri, Abdolreza Rahmani-Fazli memberitahu parlimen, menurut agensi berita rasmi IRNA.
Menurutnya, kemusnahan bernilai antara 300 dan 350 trilion rial – antara AS$2.2 dan AS$2.6 bilion pada kadar pasaran bebas.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Mohammad Eslami memberitahu parlimen bahawa ‘725 jambatan telah musnah sepenuhnya’.
“Lebih 14,000 kilometer jalan raya juga musnah,” katanya lagi, menurut IRNA.
Ketua perkhidmatan cuaca Iran memberitahu sesi parlimen yang sama bahawa banjir tidak semestinya bermakna musim kemarau selama satu dekad telah berakhir.
“Banjir yang berlaku baru-baru ini adalah disebabkan perubahan iklim dan pemanasan global,” kata Sahar Tajbakhsh menurut agensi berita separa rasmi ISNA.
Republik Islam itu telah menerima bantuan dari negara jiran dan kawasan lain, dengan Perancis semalam menderma 210 khemah dan 114 pam. – AFP