Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    KUALA LUMPUR, 6 OKT – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana sebagai persiapan menghadapi banjir.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya perhatian diberikan terhadap proses pengagihan bantuan kepada rakyat yang terjejas jika berlaku bencana.

    Beliau berkata Seri Paduka bertitah demikian pada sesi sembah taklimat cuaca dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini hari ini.

    “Pada taklimat hari ini, JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sembah maklum data, persiapan dan lokasi ‘hotspot’ banjir kepada Seri Paduka dan Tuanku berpuas hati.

    “Tuanku menekankan soal sistem amaran awal dan kita sembah maklum bahawa KASA telah menambahkan fasiliti amaran awal seperti siren dan kemudahan lain terutama kawasan hotspot.

    “Tuanku juga titahkan pelarasan dari segi bantuan di bawah NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dengan agensi lain bagi mengelakkan kekeliruan di samping bantuan sampai kepada mangsa,” kata beliau kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian selepas sesi sembah taklimat itu yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat itu yang diadakan secara tertutup bagi mengetahui kesiapsiagan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November ini dan berakhir pada Mac 2023.– Bernama

    Datuk Seri Tuan Ibrahim ketika ditemui para pemberita selepas sesi sembah taklimat persiapan bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...