COLOMBO, 31 Mei – Bantuan antarabangsa tiba di Sri Lanka hari ini tatkala jumlah kematian akibat banjir dan runtuhan tanah paling teruk di pulau dalam satu dekad meningkat kepada 202 orang.
Menteri Luar Ravi Karunanayake berkata 16 buah negara telah mengejarkan bantuan bekalan dan ubat untuk membantu lebih daripada 600,000 orang yang berpindah dari rumah mereka selepas banjir pada Jumaat.
“Kami juga menerima banyak pertanyaan daripada negara dan pertubuhan lain yang ingin mengetahui keperluan kami. Kami berasa terharu dengan respon spontan,” beritahu Karunanayake kepada wartawan di Colombo. India dan Pakistan juga menghantar kumpulan perubatan di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas, kata beliau. Pusat Pengurusan Bencana mengesahkan jumlah kematian meningkat kepada 202 selepas penemuan lebih ramai mangsa runtuhan tanah di bawah timbunan lumpur di kawasan barat daya Sri Lanka.
Seramai 96 orang lain masih disenaraikan sebagai hilang.

Tatkala banjir surut di kebanyakan kawasan, beratus anggota sukarelawan telah dikerahkan untuk membersihkan telaga minuman bertujuan membawa air bersih kepada mangsa, kata pegawai.
Jurucakap kerajaan Rajitha Senaratne berkata kumpulan perubatan tambahan juga dihantar untuk mengelak penyakit bawaan air daripada merebak.
Pada Mei 2003, 250 orang terbunuh dan 10,000 buah rumah dimusnahkan selepas monsun kuat. – AFP