Monday, March 3, 2025
26.9 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Banjir Belait: ABDB hulur bantuan

BELAIT, 31 JAN – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan kerjasama Pejabat Daerah Belait, telah mengambil langkah proaktif menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di Daerah Belait.

Menurut kenyataan dari ABDB, hari ini, Seksyen Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) dari Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei (3Bn TDDB) telah dikerahkan untuk memudahkan pengangkutan guru-guru Sekolah Rendah Panaga dari Pejabat Daerah Belait ke premis sekolah terbabit.

Anggota-anggota berkenaan juga membantu menyelamatkan dan menyusun semula buku-buku sekolah yang tidak mengalami kerosakan akibat banjir.

Langkah itu mencerminkan komitmen ABDB dalam melaksanakan pendekatan Hearts and Minds untuk memperkukuhkan hubungan dan membina kepercayaan dengan komuniti setempat, khususnya mereka yang terkesan akibat bencana alam.

Selain itu, ABDB menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan agensi-agensi berkaitan bagi mendukung Pendekatan Seluruh Negara dalam usaha menangani cabaran akibat bencana.

Memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu di Negara Brunei Darussalam masih berpotensi menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh, ABDB menekankan kesiapsiagaan mereka untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan dalam waktu yang mencabar ini.

Beberapa anggota ABDB membantu menyelamatkan buku-buku sekolah yang tidak mengalami kerosakan akibat banjir. – GAMBAR SERAHAN ABDB
Anggota ABDB membantu menguruskan buku dan dokumen di Sekolah Rendah Panaga yang terjejas banjir. – GAMBAR SERAHAN ABDB

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda