SACRAMENTO, 27 JULAI – Gelombang banjir yang mengejutkan dan meragut nyawa di seluruh Amerika Syarikat (AS) musim panas ini membebankan sistem tindak balas kecemasan dan menyerlahkan faktor saintifik yang menjadikan ribut masa kini lebih berbahaya, menurut pakar, lapor Xinhua.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS kelmarin, lebih 3,600 amaran banjir kilat dikeluarkan setakat tahun ini, satu kadar yang boleh mengatasi purata tahunan sekitar 4,000, memandangkan hujan lebat masih berterusan sehingga hujung Julai.
Texas menjadi negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir. Pada 4 Julai, limpahan air mengganas di Sungai Guadalupe, meragut sekurang-kurangnya 135 nyawa di seluruh negeri. Daerah Kerr sahaja kehilangan 107 orang, termasuk puluhan kanak-kanak di sebuah kem musim panas, menurut pegawai tempatan yang dipetik oleh laman berita alam sekitar Grist.
Di Kerrville yang berhampiran, alat pengukur sungai merekodkan kenaikan paras air melebihi 11.3 meter dalam masa hanya 45 minit, menyebabkan pasukan penyelamat tidak dapat menangani keadaan.
Menurut ahli sains, lautan yang lebih panas tahun ini meningkatkan jumlah wap air yang luar biasa ke dalam atmosfera, manakala aliran jet yang lemah membolehkan awan ribut kekal di kawasan yang sama lebih lama.
Gabungan faktor itu menjadikan ribut petir tahun ini luar biasa kuat, kata Jeffrey Basara, Profesor Meteorologi di Universiti Massachusetts Lowell, dalam artikel di The Conversation pada Jumaat.
Beliau berkata kawasan di sebelah timur Pergunungan Rocky menerima sekurang-kurangnya 50 peratus lebih hujan daripada biasa antara pertengahan April hingga pertengahan Julai.
Keadaan permukaan bumi turut memburukkan keadaan, kata Basara, sambil menjelaskan tanah yang tepu, bentuk muka bumi yang curam, dan kawasan berturap yang luas menyalurkan air ke anak sungai dan jalan raya dengan kelajuan yang membimbangkan.
Banjir besar pada 4 Julai itu bermula di hulu sungai, satu senario yang digambarkan oleh Basara sebagai ‘paling buruk’, kerana ia menghantar arus deras yang amat kuat ke hilir. – Bernama
