LAHORE, 31 OGOS – Wilayah Punjab di timur Pakistan kini berdepan banjir terbesar dalam sejarahnya, kata seorang pegawai kanan hari ini, ketika paras air sungai mencapai tahap tertinggi.
Fenomena pemanasan global telah memburukkan lagi hujan monsun tahun ini di Pakistan, antara negara yang paling terdedah kepada perubahan iklim. Hujan lebat dan fenomena ‘cloudburst’ mencetuskan banjir kilat serta tanah runtuh di kawasan pergunungan utara dan barat laut dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Penduduk di Punjab timur turut mengalami jumlah hujan yang luar biasa, selain banjir rentas sempadan selepas India melepaskan air dari sungai yang melimpah dan empangan ke kawasan rendah Pakistan.
Menteri kanan wilayah itu, Maryam Aurangzeb memberitahu sidang akhbar, “Ini adalah banjir terbesar dalam sejarah Punjab. Banjir itu telah menjejaskan dua juta orang. Ini kali pertama ketiga-tiga sungai – Sutlej, Chenab dan Ravi – telah membawa paras air yang begitu tinggi.”
Beliau berkata pihak berkuasa tempatan kini menggunakan institusi pendidikan, balai polis dan fasiliti keselamatan sebagai pusat pemindahan, selain menjalankan operasi pemindahan termasuk bot.
Kementerian Luar sedang mengumpul data berkaitan pelepasan air oleh India ke dalam Pakistan, tambahnya. Bagaimanapun, tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh India.
India minggu lalu telah memberi amaran kepada jirannya mengenai kemungkinan banjir rentas sempadan, yang merupakan kontak diplomatik awam pertama antara kedua-dua negara sejak krisis yang hampir membawa mereka ke kancah perang pada Mei lalu.
Punjab, yang menempatkan kira-kira 150 juta penduduk, merupakan nadi sektor pertanian Pakistan dan pengeluar utama gandum negara itu. Banjir besar pada 2022 memusnahkan kawasan tanaman luas di timur dan selatan, sekali gus mendorong Perdana Menteri Shehbaz Sharif memberi amaran bahawa negaranya berdepan ancaman kekurangan makanan. – AP


