Wednesday, April 2, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir besar landa Queensland, 100,000 ternakan terjejas

    SYDNEY, 1 APR – Ribuan ternakan dilaporkan mati akibat banjir besar yang melanda kawasan pedalaman Australia, dengan air bah menenggelami kawasan seluas Perancis, menurut pegawai hari ini.

    Hujan lebat luar biasa sejak minggu lalu menyebabkan sungai di pedalaman Queensland melimpah, menenggelamkan salah satu kawasan ternakan terbesar di negara itu.

    Setakat ini, lebih 100,000 ternakan termasuk lembu, kambing, biri-biri dan kuda dilaporkan hanyut, hilang atau mati lemas, kata Menteri Pertanian Queensland, Tony Perrett.

    “Angka awal ini sudah cukup mengejutkan, tetapi kami menjangkakan jumlahnya terus meningkat apabila air mulai surut,” katanya.

    “Amat menyayat hati membayangkan apa yang akan dilalui penduduk barat Queensland dalam minggu dan bulan mendatang apabila mereka menemui lebih banyak kerugian serta kerosakan – sebelum memulakan proses pemulihan yang panjang.”

    Pakar kaji cuaca telah lama memberi amaran bahawa perubahan iklim meningkatkan risiko bencana alam seperti kebakaran hutan, banjir dan taufan.

    Banjir kali ini meliputi kawasan seluas 500,000 kilometer persegi di barat Queensland, setanding dengan keluasan Perancis, menurut Perrett.

    Badan industri AgForce memberitahu media tempatan bahawa beberapa ladang ternakan mungkin telah kehilangan hampir keseluruhan haiwan peliharaan mereka.

    Biro Meteorologi Australia melaporkan bahawa beberapa bandar menerima sehingga 500 milimeter hujan dalam seminggu – bersamaan jumlah purata tahunan mereka.

    Gambar yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan ternakan berlumpur berkumpul di bukit-bukit kecil yang masih tidak ditenggelami air.

    Jabatan bomba Queensland menggunakan helikopter untuk menjatuhkan bekalan makanan berhampiran haiwan yang masih hidup tetapi terputus akses kepada sumber makanan. – AFP

    Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda