Monday, September 30, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir buruk di Nepal ragut 148 nyawa

    KATHMANDU, 29 SEPT – Penduduk ibu negara Nepal yang dilanda banjir kembali ke rumah mereka yang dipenuhi lumpur hari ini untuk meninjau kemusnahan akibat banjir yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 148 orang di seluruh republik Himalaya itu.

    Banjir dan tanah susur yang berkaitan dengan hujan lebat yang membawa maut adalah perkara biasa di seluruh Asia Selatan semasa musim tengkujuh dari Jun hingga September, tetapi pakar mengatakan perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan kejadian yang makin teruk.

    Seluruh kawasan kejiranan di Kathmandu telah ditenggelami air pada hujung minggu dengan banjir kilat dilaporkan di sungai-sungai yang mengalir melalui ibu negara dan kerosakan besar di lebuh raya yang menghubungkan bandar itu dengan seluruh Nepal.

    Kumar Tamang, yang tinggal di kawasan setinggan di tepi sungai, memberitahu AFP bahawa dia dan keluarganya terpaksa melarikan diri selepas tengah malam kelmarin apabila air melimpah masuk ke dalam pondoknya.

    “Pagi ini kami kembali dan semuanya kelihatan lain,” kata lelaki berusia 40 tahun itu.

    “Kami tidak dapat membuka pintu ke rumah kami, ia tersekat dengan lumpur,” tambahnya. “Semalam kami takut air akan membunuh kami, tetapi hari ini kami tidak mempunyai air untuk pembersihan.”

    Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal berkata 148 orang telah terbunuh di seluruh negara dengan 59 lagi masih hilang.

    Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Rishi Ram Tiwari memberitahu AFP bahawa jentolak sedang digunakan untuk membersihkan beberapa lebuh raya yang telah disekat oleh serpihan, memutuskan hubungan Kathmandu dengan seluruh negara.

    “Lebih 3,000 orang telah diselamatkan,” tambahnya. – AFP

    Imej udara ini menunjukkan Sungai Bagmati dilihat dinaiki air akibat hujan lebat di Kathmandu, Nepal, pada 28 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda