Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir dahsyat tenggelamkan 1,000 kampung di Punjab

    AMRITSAR, 2 SEPT – Seribu kampung di negeri Punjab, India, terputus hubungan akibat banjir besar yang meragut puluhan nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah ke pusat perlindungan, menurut pihak berkuasa kerajaan.

    Banjir di negeri barat laut itu telah meragut sekurang-kurangnya 29 nyawa dan menjejaskan lebih 250,000 orang bulan lalu, dengan Ketua Menteri Punjab menyifatkannya sebagai “antara bencana banjir terburuk dalam beberapa dekad.”

    Wilayah yang sering digelar sebagai “jelapang padi India” itu menyaksikan lebih 940 kilometer persegi tanah pertanian ditenggelami air, sekali gus mengakibatkan “kerugian tanaman yang amat dahsyat,” tulis Ketua Menteri Bhagwant Mann dalam surat kepada Perdana Menteri Narendra Modi.

    Pada Isnin, Modi memberi jaminan bahawa kerajaan pusat akan memberikan “sokongan penuh” dalam usaha menangani bencana ini.

    Pihak berkuasa turut menyuarakan kebimbangan berlakunya “kerugian besar ternakan,” yang hanya akan diketahui sepenuhnya apabila air surut, menurut buletin dikeluarkan kerajaan negeri lewat Isnin.

    Tentera India dan pasukan penyelamat telah melaksanakan operasi besar-besaran, dengan lebih 1,000 bot dan 30 helikopter digerakkan bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap serta menghantar bekalan makanan.

    “Perkara paling penting ialah menyelamatkan nyawa manusia dan haiwan yang tidak berdaya terperangkap dalam air,” kata Mann dalam satu kenyataan.

    Sungai-sungai di rantau itu turut mengalir ke Pakistan, menyebabkan kawasan luas negara jiran itu turut ditenggelami banjir.

    Banjir dan tanah runtuh adalah kejadian biasa sepanjang musim monsun dari Jun hingga September di benua kecil India, namun pakar memberi amaran bahawa perubahan iklim, ditambah dengan pembangunan yang tidak terancang, telah meningkatkan kekerapan, tahap keterukan serta kesan bencana ini.

    Di barat laut India, purata hujan dari Jun hingga September meningkat lebih sepertiga berbanding biasa, menurut jabatan kaji cuaca kebangsaan.

    Di ibu negara New Delhi, hujan berterusan menyebabkan Sungai Yamuna melepasi paras bahaya pada Selasa, menenggelamkan beberapa kawasan dan mencetuskan kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya. – AFP

    Penduduk tempatan bersama anggota Tentera India menyelamatkan ternakan mereka meredah banjir Sungai Beas di Kampung Mand, daerah Kapurthala, negeri Punjab, India pada 29 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda