SYDNEY, 21 MEI – Banjir yang semakin teruk melanda kawasan timur Australia hari ini, menyebabkan rumah-rumah tenggelam dan penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung sepanjang malam, sementara pihak berkuasa memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Menurut pihak berkuasa, ribut telah membawa hujan melebihi empat bulan jumlah purata hanya dalam masa dua hari di beberapa kawasan New South Wales, menenggelamkan rumah, premis perniagaan dan jalan raya dalam air berlumpur.
“Kita berdepan situasi di mana hujan turun dengan sangat lebat dan tidak berhenti. Sebahagian daripada sebabnya adalah kerana tanah sudah tepu dan sungai-sungai sudah melimpah,” kata Menteri Kecemasan Negeri, Jihad Dib kepada pemberita.
Kawasan Taree, kira-kira 300 kilometer di utara Sydney, menjadi tumpuan pasukan kecemasan selepas menerima 415 milimeter hujan sejak Isnin – lebih empat kali ganda daripada jumlah purata hujan bulanan bagi bulan Mei.
Pihak berkuasa melaporkan paras air sungai di Taree telah melepasi rekod terdahulu pada tahun 1929, mencecah 6.3 meter pada hari ini.

Paras air banjir yang semakin naik menyebabkan penduduk terkandas di atas bumbung rumah sepanjang malam, apabila penyelamat tidak dapat menghampiri mereka akibat cuaca buruk.
Penduduk Taree, Holly Pillotto, yang turut terkandas di tingkat atas rumahnya, berkata beliau amat memerlukan bantuan ketika paras air terus meningkat.
“Jiran-jiran kami di anjung belakang juga terkandas,” katanya kepada saluran Channel Nine Australia. “Keadaan sangat berbahaya.”
Dib berkata perkhidmatan kecemasan sedang menggunakan segala sumber yang ada untuk menyelamatkan mereka yang terjejas.
Ketua Penguasa Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Dallas Byrnes, menyifatkan keadaan sebagai cepat berubah dan semakin meruncing, dengan lebih 150 operasi menyelamat dilaksanakan sepanjang malam.
“Kami menyelamatkan ramai orang dari bumbung rumah dan tingkat atas kediaman,” beritahunya kepada penyiar nasional ABC.
Namun, beliau memberi amaran bahawa keadaan cuaca yang berbahaya mungkin menghalang penggunaan aset penerbangan sepanjang hari.
Agensi berkenaan menyatakan kira-kira 16,000 orang atau 7,400 kediaman, dijangka terus terputus hubungan sekurang-kurangnya sehingga Khamis. – AFP