Thursday, March 13, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir di Beaufort semakin pulih

    BEAUFORT, 12 MAC – Situasi banjir di Beaufort semakin pulih namun penduduk masih mengambil langkah berjaga-jaga berlaku ‘air turun’ memandangkan daerah lain dalam kawasan pedalaman bawah negeri ini turut dilanda bencana itu.

    Menjelaskan perkara itu, penduduk tempatan Abdul Mutalib Abdul Ghani, 38, berkata kedudukan Beaufort yang lebih rendah daripada daerah lain di kawasan pedalaman bawah, menyebabkan air akan turun mengalir ke daerah tersebut.

    Peniaga dari di Kampung Melati itu, berkata banjir dari daerah pedalaman bawah seperti Tenom, Membakut dan Sipitang akan mengalir keluar melalui Sungai Padas dan sungai lain menuju ke kawasan lebih rendah di Beaufort.

    “Rumah saya dan penduduk kampung ini memang di tepi Sungai Padas, jadi bila air sungai melimpah berlakulah banjir. Memang kita tengok sungai akan jadi penuh, arus pun amat deras kerana air bukan dari Beaufort sahaja tetapi ‘air turun’ dari daerah lain di pedalaman bawah.

    “Selain arus deras, paling bahaya haiwan liar terutama buaya kerana bila air sungai melimpah buaya dapat keluar seterusnya mengancam keselamatan terutama kepada anak-anak kita. Jadi, walaupun tidak lagi hujan kami masih berjaga-jaga kerana air turun boleh membuatkan banjir berulang,” katanya kepada Bernama.

    Abdul Mutalib juga memohon pihak bertanggungjawab supaya memantau rapi banjir buruk itu yang pertama kali berlaku selepas bencana sama pada 2014 dan 2015, dan meminta pemimpin turun padang bagi mengetahui sendiri bentuk bantuan yang diperlukan terutama dalam situasi pascabanjir.

    Sehingga pagi tadi hanya daerah di pedalaman bawah Sabah dilanda banjir dengan Beaufort mencatat 1,719 mangsa daripada 556 keluarga di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS), Membakut (422 mangsa daripada 50 keluarga di lima PPS), dan Tenom (514 mangsa daripada 210 keluarga di sembilan PPS). – Bernama

    Gambar bertarikh 10 Mac 2025 menunjukkan beberapa buah kenderaan tenggelam dekat Stesen Keretapi Beaufort berikutan banjir melanda pekan Beaufort. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda