Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir di Bosnia ragut 14 nyawa

    KISELJAK, 4 OKT – Hujan lebat yang membanjiri bandar dan mencetuskan tanah runtuh mengorbankan kira-kira 14 orang di Bosnia hari ini, kata pihak berkuasa.

    Jablanica, kira-kira 70 kilometer dari barat daya Sarajevo, dilaporkan paling terjejas oleh hujan lebat selama 24 jam, yang memutuskan hubungannya dengan dunia luar.

    Gambar di media tempatan dari wilayah Jablanica menunjukkan runtuhan lumpur yang hampir mencecah bumbung rumah dan sebuah masjid dengan hanya menaranya yang kelihatan.

    “Buat masa ini, mayat 14 orang telah ditemui di wilayah Jablanica,” beritahu jurucakap Darko Jukan kepada AFP, sambil menambah jumlah korban mungkin meningkat.

    Jablanica “tidak boleh dimasuki atau keluar buat masa ini”, kata perkhidmatan menyelamat gunung mengenai bandar yang mempunyai kira-kira 4,000 penduduk itu.

    Air banjir berikutan hujan lebat di bandar Kiseljak, kira-kira 20 kilometer ke barat Sarajevo pada 4 Oktober. – AFP

    Beberapa orang dari kawasan itu dilaporkan hilang, kata pihak berkuasa manakala beberapa yang cedera telah dipindahkan dengan helikopter dari pasukan pengaman Kesatuan Eropah (EUFOR).

    Pada tengah hari ini, keadaan paling kritikal berlaku di kampung Donja Jablanica yang masih terputus hubungan, kata jurucakap itu.

    Beberapa jalan dan jambatan di wilayah itu runtuh, katanya.

    Di Kiseljak, kira-kira 20 kilometer ke barat Sarajevo, rumah, taman dan kereta ditenggelami air, lapor seorang wartawan AFP.

    Sebahagian besar penduduk Bosnia berdepan risiko akibat banjir besar dan tanah runtuh, kata pentadbiran perlindungan awam persekutuan dalam satu kenyataan.

    Anggota bomba, polis dan syarikat utiliti sedang bekerja di kawasan yang terjejas, tetapi lebih banyak bantuan diperlukan untuk mengurangkan kesan ribut dan hujan, menurut amaran pentadbiran perlindungan awam persekutuan itu.

    Perdana Menteri Bosnia, Nermin Niksic menulis di platform media sosial X bahawa situasi itu amat serius kerana ramai rakyat masih terperangkap di rumah mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda