BEIJING, 2 OGOS – Hujan lebat di kawasan sekitar ibu negara China, Beijing, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dan menyebabkan 27 hilang, lapor kerajaan pada hari ini, ketika banjir memusnahkan jalan raya, menumbangkan pokok dan memutuskan bekalan elektrik.
Beribu-ribu orang telah dipindahkan ke tempat perlindungan di sekolah dan bangunan awam lain di pinggir bandar Beijing dan di bandar berdekatan Tianjin dan Zhuozhou.
Keterukan banjir mengejutkan ibu kota China itu. Beijing biasanya mempunyai musim panas yang kering tetapi mempunyai musim panas yang memecahkan rekod pada tahun ini.
Kawasan lain, terutamanya selatan China, telah mengalami banjir musim panas yang luar biasa teruk yang menyebabkan banyak kematian. Bahagian lain di negara itu sedang bergelut dengan kemarau.
Air berlumpur mengalir di jalan-jalan menghanyutkan kereta di daerah Mentougou di pinggir barat Beijing.
Kereta yang diletakkan di jalan terapung dan dihanyutkan,” kata seorang penduduk, Liu Shuanbao. “Beberapa kereta yang diletakkan di belakang bangunan pangsapuri saya hilang dalam masa satu minit sahaja.”
Pekerja kecemasan menggunakan jentolak pada hari ini untuk membersihkan jalan sementara penduduk mengharungi lumpur.
“Baik pegawai mahupun rakyat biasa tidak menjangkakan hujan akan turun begitu lebat,” kata seorang lagi penduduk Mentougou, Wu Changpo. “Terdapat banyak tanah runtuh dan perkampungan yang dinaiki air. Saya menangis berulang kali melihat laporan ini.” – AP
