BEIJING, 30 JULAI – Tujuh orang dilaporkan terbunuh dan tiga lagi hilang selepas hujan lebat dan banjir melanda wilayah Hunan di tengah China, menurut laporan media rasmi tempatan, hari ini.
China kini sedang mengalami musim panas yang ekstrem, di mana hujan lebat membadai sebahagian besar negara itu, manakala banyak wilayah lain mengalami gelombang haba yang melampau.
Negara itu merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau di dunia yang menurut saintis, memacu perubahan iklim dan menjadikan kejadian cuaca ekstrem semakin kerap dan lebih teruk.
Lebih 11,000 penduduk terpaksa dipindahkan dari Zixing di Hunan selepas bandar itu mencatatkan rekod hujan tertinggi, di mana beberapa kawasan menerima turunan hujan sebanyak 645 milimeter dalam tempoh 24 jam, lapor Xinhua.
Hujan lebat itu telah merosakkan hampir 900 rumah dan menyebabkan 1,345 jalan runtuh, tambah laporan itu. – AFP