SRINAGAR, 15 OGOS – Kira-kira 56 orang maut dan berpuluh-puluh lagi masih hilang selepas arus deras dan lumpur akibat hujan lebat melanda sebuah perkampungan Himalaya kelmarin di Kashmir yang ditadbir India, kata seorang pegawai pengurusan bencana tertinggi kepada AFP.
Ia adalah bencana banjir besar kedua yang membawa maut di India bulan ini.
“Berita itu menyedihkan,” kata Ketua Menteri Kashmir, Omar Abdullah dalam satu kenyataan, melaporkan hujan lebat yang melanda daerah Kishtwar.
Para penduduk berkumpul di hospital Kishtwar manakala sebahagiannya lagi membawa mangsa yang cedera di atas pengusung.
Pegawai pengurusan bencana tertinggi, Mohammad Irshad, berkata kepada AFP kira-kira 56 mayat telah ditemui dari tapak sebelum usaha menyelamat dihentikan pada malam itu.
Irshad berkata 80 lagi dilaporkan hilang dan 300 orang telah diselamatkan, 50 daripadanya cedera parah dan telah dihantar ke hospital berdekatan.
Pegawai tempatan berkata, kematian akibat banjir besar yang merosakkan atau menjejaskan banyak rumah berkemungkinan meningkat. – AFP


