Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir di pantai barat Sabah

    KOTA KINABALU, 9 OKT – Hujan lebat berterusan petang ini menyebabkan beberapa lokasi sekitar pantai barat Sabah terutama di daerah Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang dilanda banjir.

    Tinjauan Bernama mendapati kawasan yang banjir di Kota Kinabalu termasuk Likas, Tebobon, Sepanggar dan Manggatal; di Tuaran pula termasuk Telipok, Rugading dan Gayang manakala di Penampang kawasan yang terjejas antaranya ialah Donggongon, Bundusan dan Sugud.

    Banjir juga menenggelamkan jalan raya sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas manakala kenderaan yang diletak di tepi jalan dan tingkat bawah beberapa premis kedai turut ditenggelami air.

    Keadaan itu turut mengakibatkan beberapa laluan utama sesak antaranya Jalan Menggatal Tebobon serta Jalan Sepanggar di Kota Kinabalu, Jalan Salut di Tuaran dan Jalan Panglima Banting di Penampang.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Misran Bisara berkata setakat ini, pihaknya menerima satu laporan mengenai banjir di Kampung Mansiang, Menggatal melibatkan sembilan mangsa banjir dan jabatan itu serta pihak berkuasa lain sedang memberikan bantuan perlu.

    Misran berkata dalam kejadian pada 3:27 petang itu, dua rumah telah dinaiki air dan
    mangsa banjir yang terperangkap berjaya dikeluarkan oleh anggotanya sebelum dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

    “Kami bersama pihak berkuasa lain sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang situasi banjir dan sudah melakukan persediaan daripada awal, justeru kita meminta orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika cuaca tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang dijangka berlaku di perairan Sabah minggu depan. – Bernama

    Hujan lebat sejak 3 petang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar pusat bandar raya dan Penampang dilanda banjir kilat kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda