Saturday, July 6, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Banjir di Sabah semakin pulih

    KOTA KINABALU, 3 JULAI – Banjir melanda Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli semakin pulih dengan semua empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi sejak Ahad lalu ditutup petang ini.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan PPS Dewan Kebudayaan Penampang ditutup pada pukul 5 petang, manakala PPS Dewan Sri Putatan pula ditutup pada pukul 3 petang.

    Sekretariat seterusnya memaklumkan dua PPS lain iaitu Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran dan Dewan Balai Raya Kampung Bantoi, Tamparuli pula ditutup pada 2 petang.

    Pagi tadi, keempat-empat PPS mencatatkan seramai 474 orang daripada 144 keluarga dan kesemuanya telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

    Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan laluan di KM31.9 Jalan Penampang-Tambunan (jalan Persekutuan diwartakan sebagai Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom), ditutup buat sementara waktu.

    JKR Sabah memaklumkan penutupan itu adalah berikutan berlaku tanah runtuh yang menyebabkan jalan raya di lokasi berkenaan terputus dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

    “Orang awam yang hendak melakukan perjalanan antara Penampang-Tambunan (dan sebaliknya), dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif sehinggalah pembinaan lencongan sementara disiapkan,” menurut kenyataan berkenaan.

    Laluan alternatif dicadangkan ialah Penampang-Lok Kawi-Kimanis-Keningau dan laluan Penampang-Lido-Telipok-Tamparuli-Kundasang-Ranau-Tambunan. – Bernama

    Guru-guru Sekolah Menengah St. Michael Penampang bergotong-royong membersihkan halaman sekolah yang disaluti lumpur berikutan banjir besar melanda sekolah itu Ahad lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...