BANGKOK, 9 OKT – Banjir yang dicetuskan oleh hujan monsun lebat di kawasan selatan Myanmar telah menyebabkan lebih 10,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mengganggu lalu lintas di landasan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar terbesar di negara itu, kata pegawai dan media kerajaan hari ini.
Seorang pegawai kanan di Kementerian Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula, Lay Shwe Zin Oo berkata hujan berterusan di wilayah Bago yang bermula minggu lalu menyebabkan kejadian banjir di kawasan rendah ibu kotanya, perbandaran
Bago. Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, tetapi lebih 10,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Perbandaran Bago merekodkan 200 milimeter hujan, paras tertinggi dalam 59 tahun, kata Jabatan Meteorologi Myanmar kelmarin. Hujan atau petir diramalkan di seluruh negara sehingga petang hari ini.
Salah seorang ketua pasukan penyelamat kecemasan di Bago memberitahu The Associated Press bahawa banjir itu sekurang-kurangnya 7-8 kaki (2.44 meter) dalam di kawasan rendah dan 3-4 kaki di pusat bandar.
“Hampir seluruh kawasan bandar itu dinaiki air,” kata That Zin Maung, pengerusi Yayasan Amal Mizzima Thukha melalui telefon hari ini. “Ia adalah banjir ketiga di bandar ini tahun ini dan yang terburuk dalam beberapa tahun. Semua biara di bandar telah membuka kem-kem bantuan. Organisasi amal memindahkan penduduk dari kawasan rendah seramai yang boleh.” – AP


