BANGKOK, 20 DIS – Hujan lebat berterusan sejak Ahad menyebabkan sembilan wilayah ditenggelami air, menjejaskan lebih 64,000 isi rumah di selatan Thailand.
Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana (DDPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 66 daerah di sembilan wilayah – Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat – masih dinaiki air.
“Monsun timur laut yang kuat merentasi Teluk Thailand dan Laut Andaman telah menyebabkan hujan berterusan serta air sungai melimpah, banjir dan banjir kilat di kebanyakan kawasan.
“Sehingga kini, sejumlah 64,626 isi rumah di 1,425 kampung di sembilan wilayah dilanda banjir sejak Ahad,” menurut DDPM sambil menambah paras air di beberapa kawasan mulai surut. – Bernama


