SYDNEY, 9 MAC – Angin kencang dan hujan lebat telah menyebabkan lebih daripada suku juta rumah terputus bekalan elektrik dan menenggelamkan beberapa kawasan di pantai timur Australia, kata pihak berkuasa hari ini, dengan seorang pemandu disahkan maut dan sebilangan tentera cedera akibat cuaca liar tersebut.
Setelah berhari-hari melanda pantai sebagai taufan tropika kategori 2 dan melanda sepanjang 400 kilometer garis pantai, Alfred telah mereda menjadi tropical depression sebelum mendarat pada petang kelmarin.
Namun, apabila sisa-sisa taufan tersebut bergerak ke pedalaman, ratusan ribu orang masih terputus bekalan elektrik hari ini dan gambar video menunjukkan air setinggi lutut mengalir melalui jalan raya di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas di tenggara Queensland dan timur laut New South Wales.
Sebanyak 23 sentimeter hujan telah turun di kawasan peranginan Hervey Bay di Queensland dalam beberapa jam sahaja, menyebabkan rumah ditenggelami air dan memaksa operasi penyelamatan kecemasan dalam arus deras, kata perdana menteri negeri, David Crisafulli, dalam satu sidang media.
Sistem cuaca itu ‘terus memberi impak besar’ ketika ia bergerak ke pedalaman, kata Crisafulli, sambil menambah bahawa lebih 1,000 sekolah yang ditutup di seluruh negeri akan dibuka secara berperingkat esok. – AFP
