Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: Hampir 10,000 penduduk Indonesia dipindahkan

    JAKARTA, 9 JULAI – Kawasan metropolitan Jakarta dilanda banjir Isnin lalu menyebabkan hampir 10,000 penduduk dipindahkan susulan hujan lebat berterusan sejak Ahad, lapor Xinhua.

    Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), seramai 9,947 penduduk di kawasan yang dikenali sebagai Jabodetabek (akronim dari Jakarta–Bogor–Depok–Tangerang–Bekasi) terjejas banjir dan dipindahkan dengan sejumlah 2,348 rumah dinaiki air.

    Seorang penduduk, Harmoko Hidayat, 58, melalui Isnin malam yang tidak dijangka dan meletihkan apabila terpaksa membersihkan lumpur tebal memenuhi hampir setiap ruang rumahnya di Pancoran, Jakarta Selatan.

    “Ketinggian air mungkin lebih daripada satu meter. Saya sudah jangka akan berlaku banjir, tetapi tidak setinggi ini. Ada barang-barang saya yang tertimbus dalam lumpur,” katanya kepada agensi berita itu kelmarin.

    Menurut Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jakarta, banjir telah menenggelamkan ratusan kawasan kejiranan dan beberapa jalan utama Isnin lalu, dengan paras air di beberapa mukim melebihi 20 sentimeter.

    Kira-kira 371 penduduk dari lima mukim Jakarta terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan.

    Sebelum banjir berlaku, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) telah mengeluarkan amaran awal mengenai potensi banjir pesisir antara 4 hingga 13 Julai. 

    BMKG turut meramalkan hujan akan berterusan di kawasan metropolitan Jakarta dari Isnin hingga hari ini. – Bernama

    Gambar menunjukkan seorang wanita (kiri) menimba air dari dalam rumahnya ketika banjir melanda kawasan kejiranannya berikutan hujan lebat di Jakarta pada 7 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda