Sunday, October 6, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir, hujan lebat landa Jakarta

    JAKARTA, 8 JULAI – Beberapa kawasan kejiranan di Jakarta ditenggelami air pada hujung minggu berikutan hujan lebat di ibu negara minggu lalu, dengan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) meramalkan lebih banyak hujan lebat akan datang pada hari-hari berikutnya.

    Hujan lebat ditambah dengan angin kencang telah melanda Jakarta beberapa kali sejak Rabu, menyebabkan banyak kesesakan dan menenggelamkan sekurang-kurangnya 48 unit kejiranan (RT) pada hujung minggu, dengan air banjir mencecah sehingga 78 sentimeter dalam.

    Empat puluh daripada kejiranan ini terletak di Jakarta Selatan, dengan selebihnya di Jakarta Barat dan Timur, lapor tempo.co.

    Ketua Badan Penanggulangan Bencana (BPBD) Jakarta, Isnawa Adji berkata pada Sabtu bahawa agensi itu sedang berkerjasama dengan ketua mukim untuk mengawal banjir. Beliau juga berkata agensi masing-masing telah mengerahkan pam air untuk mengalirkan air banjir, lapor kompas.com.

    Setakat kelmarin, Isnawa berkata sekurang-kurangnya empat unit kejiranan di Jakarta Barat masih dinaiki air, termasuk satu di mukim Rawa Buaya, yang melaporkan banjir melebihi paras lutut.

    Secara berasingan, hujan lebat pada Sabtu turut menenggelamkan sebahagian daripada tujuh mukim di Tangerang Selatan, dengan air banjir mencecah paras paras pinggang.

    Banjir itu menjejaskan 673 keluarga di Mukim Keranggan, Jelupang, Pamulang Barat, Jurangmanggu Barat, Sawah, Rempoa dan Jombang, kata Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dalam kenyataan akhbar kelmarin.

    Hujan lebat turut menyebabkan tanah runtuh yang merosakkan sebuah rumah di Keranggan.

    Air banjir beransur surut kelmarin, lapor BPBD Tangerang Selatan.

    Agensi itu bersiap sedia sekiranya lebih banyak banjir melanda Tangerang Selatan dalam beberapa hari akan datang, manakala BPBD Jakarta turut memberi amaran kepada rakyat supaya sentiasa berhati-hati dengan potensi banjir.

    BMKG meramalkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa bahagian negara, termasuk Jakarta dan Banten dari 5 hingga 11 Julai walaupun berada di puncak musim kemarau.

    Dalam kenyataan akhbar pada Ahad, jurucakap BNPB Abdul Muhari menasihatkan orang ramai supaya berjaga-jaga dan berpindah ke tempat lebih selamat jika hujan lebat berlarutan lebih sejam. – ANN/The Jakarta Post

    Pemandangan awan tebal memenuhi langit di atas bangunan di Jakarta hari ini selepas beberapa hari hujan lebat. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda