Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: ICP di Mukim Bukit Sawat

    Oleh Daniel Lim
    Gambar serahan Pejabat Daerah Belait

    BELAIT, 1 JULAI – Dengan hujan lebat menjejaskan kawasan sekitar Ulu Belait, beberapa langkah menghadapi banjir telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait untuk membantu penduduk yang tinggal di kawasan terjejas berkenaan.

    Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Sungai Mau dan Jalan Kandul di Mukim Bukit Sawat; Jalan Lait Lakang, Kampung Merangking; Simpang 1366, Kampung Merangking Hilir; Kampung Sungai Dugan, Kampung Sungai Kuala Rawai, Rumah Panjang Punan, Mukim Sukang dan beberapa bahagian Jalan Labi di sepanjang kawasan Bukit Puan dan Beluhur, Mukim Labi.

    Kawasan berkenaan menyaksikan langkah-langkah menghadapi banjir dilaksanakan sejak 25 Jun lalu yang termasuk pemantauan dan laporan paras air semasa dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) serta menyediakan bantuan berupa catuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir menerusi Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

    Di samping itu, bantuan juga diberikan dalam bentuk logistik dengan menyediakan pengangkutan menggunakan perahu atau temuai oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Bagi memastikan semua operasi untuk memberikan bantuan kepada penduduk terjejas berjalan lancar, Dewan Serbaguna Kampung Sungai Mau yang terletak di Mukim Bukit Sawat telah dijadikan sebagai Pos Kawalan Insiden (ICP), hari ini.

    Penempatan ICP berkenaan dapat membantu ahli-ahli DDMC untuk membuat perancangan, operasi, logistik, dan keselamatan bagi menangani kejadian banjir berkenaan supaya ia diambil tindakan dengan lebih cekap dan berkesan khususnya jika ia menjadi skala besar serta menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

    Mesyuarat bersama beberapa jabatan dan agensi kerajaan di ICP bagi membincangkan situasi semasa di kawasan terjejas.
    Paras air dilihat sudah menyusut di beberapa kawasan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda