MADRID, 12 OKT – Pulau percutian popular Sepanyol, Ibiza, sekali lagi dilanda kekacauan pengangkutan akibat banjir kilat buat kali kedua dalam tempoh dua minggu selepas hujan lebat melanda kawasan Mediterranean negara itu kelmarin.
Ibiza, yang terkenal dengan pantai indah dan kehidupan malam yang meriah, terpaksa menutup lebuh raya utama ke lapangan terbang. Rakaman di media sosial menunjukkan air hujan meresap masuk ke dalam terminal dan semua pengangkutan awam terpaksa dihentikan sementara.
Operasi di Lapangan Terbang Ibiza tergendala lebih satu jam bagi membersihkan landasan, dengan 24 daripada 295 penerbangan dibatalkan, menurut pengendali lapangan terbang Aena.
Di pulau bersebelahan, Mallorca, 19 daripada 942 penerbangan yang dijadualkan turut dibatalkan.
Kenderaan dilihat bergerak perlahan meredah air banjir yang keruh di Ibiza dan Formentera dalam suasana langit gelap disertai guruh serta kilat. Beberapa pemandu dilaporkan memerlukan bantuan menyelamat, menurut rakaman video di media sosial.

Pasukan bantuan daripada unit kecemasan tentera Sepanyol dikerahkan dari tanah besar untuk membantu kerja-kerja mengepam air.
Ibiza, Formentera dan Mallorca menghantar amaran telefon secara besar-besaran kepada penduduk supaya mengelak perjalanan tidak perlu dan menjauhi kawasan sungai serta laluan air.
Satu panahan petir menyebabkan 576 pengguna terputus bekalan elektrik selepas terkena kabel elektrik di Formentera, manakala sekitar 300 pengguna lain turut terjejas di Menorca, Ibiza dan Mallorca, menurut kerajaan wilayah Balearic.
Di wilayah Valencia di timur Sepanyol, pihak berkuasa memberi amaran tentang hujan lebat dan ribut petir setempat bermula jam 8 malam dan menyatakan sebanyak 571 insiden telah dilaporkan sejak amaran cuaca dikeluarkan awal minggu ini.
Di bandar Carcaixent, Valencia, ribut telah mencurahkan 110 liter hujan bagi setiap meter persegi hanya dalam masa satu jam, menyebabkan jalan-jalan ditenggelami air dengan cepat, menurut pemantau cuaca wilayah Avamet. Pada akhir September, hujan lebat juga telah menyebabkan banjir kilat serta penutupan pantai dan sekolah di Ibiza dan Valencia, mengingatkan kembali kepada tragedi banjir tahun lalu yang meragut lebih 200 nyawa. – AFP

