JAKARTA, 10 SEPT – Banjir kilat melanda dua pulau di Indonesia, termasuk destinasi pelancongan popular Bali, mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang manakala empat lagi dilaporkan hilang, menurut agensi bencana negara, hari ini.
Hujan lebat sejak lewat kelmarin mencetuskan banjir di empat daerah di Bali, memaksa 85 orang dipindahkan, kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.
Banjir kilat turut melanda Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur pada Isnin, menyebabkan 18 kampung terputus akses jalan raya dan perkhidmatan telefon, katanya dalam kenyataan berasingan.
Ketua agensi, Suharyanto, mengesahkan kedua-dua banjir tersebut meragut nyawa.
“Di Bali, khususnya di daerah Jembrana… dua orang terkorban. Manakala di Nusa Tenggara Timur, di daerah Nagekeo, empat orang terkorban dan empat masih hilang,” katanya.

Beliau menambah, beberapa kawasan di Bali masih ditenggelami air setakat hari ini, sementara di Flores air sudah surut.
Musim monsun tahunan, biasanya antara November hingga April, sering membawa tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air.
Perubahan iklim pula menjejaskan corak ribut termasuk tempoh dan tahap keterukan musim, yang mengakibatkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan tiupan angin kencang.
Pada Mac lalu, banjir dan tanah runtuh di Pulau Jawa mengorbankan tiga orang dan lima lagi hilang selepas hujan lebat menenggelamkan lebih dua puluh bandar.
Manakala pada Januari, sekurang-kurangnya 25 orang maut selepas banjir dan tanah runtuh melanda sebuah bandar di Jawa Tengah. – AFP

