Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir kilat di Thailand ragut 22 jiwa

    BANGKOK, 26 OGOS – Banjir kilat yang disebabkan oleh hujan monsun lebat di Thailand telah mengorbankan 22 orang dalam beberapa hari kebelakangan ini, kata pegawai bencana hari ini, sambil memberi amaran tentang banjir mengejut selanjutnya pada minggu ini.

    Sementara itu, 19 yang lain cedera dan lebih 30,000 isi rumah telah terjejas di 13 wilayah sejak 10 hari lalu, kata Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana dalam satu kenyataan.

    Sepuluh orang adalah antara yang maut, termasuk pasangan Rusia, yang terbunuh apabila tanah runtuh melanda kawasan perumahan di pulau peranginan popular Thailand, Phuket minggu lalu.

    Jabatan itu juga memberi amaran kira-kira 31 wilayah di utara dan timur laut kerajaan itu menghadapi kemungkinan banjir kilat sehingga Khamis.

    “Jabatan telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan memantau cuaca dengan teliti… dan mempersiapkan pasukan dan peralatan untuk berdepan situasi tersebut,” kata satu kenyataan.

    “Orang ramai juga harus mengikuti ramalan cuaca dan mengambil amaran dengan serius,” tambahnya.

    Di Bangkok, pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada penduduk yang tinggal di pinggir bandar dan di sepanjang sungai supaya bersedia untuk memindahkan barang-barang mereka ke tempat yang lebih tinggi.

    Tiga pekerja, termasuk dua warga China dan seorang dari Myanmar, juga hilang hari ini selepas tanah jatuh ke dalam terowong kereta api berkelajuan tinggi yang sedang dalam pembinaan di daerah Pak Chong di Nakhon Ratchasima.

    Walaupun Thailand mengalami hujan monsun tahunan, perubahan iklim akibat kegiatan manusia menyebabkan corak cuaca lebih kuat yang boleh mencetuskan banjir lebih teruk. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda