Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir kilat di Vietnam ragut lima nyawa

    HANOI, 29 JULAI – Banjir kilat hujung minggu lalu di kawasan pergunungan utara Vietnam telah meragut lima nyawa, menurut pihak berkuasa pada hari ini, manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang selepas kejadian tersebut.

    Hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat berlaku pada malam Sabtu di wilayah Son La, menyebabkan 22 buah rumah musnah, puluhan lagi rosak dan memaksa berpuluh-puluh keluarga berpindah, menurut kenyataan Kementerian Pertanian hari ini.

    Tiga mayat ditemukan kelmarin, menurut kenyataan kementerian itu, menjadikan jumlah korban kepada lima selepas dua mayat lain ditemui lebih awal. Operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan.

    Lebih 180 hektar tanaman serta 2,600 ternakan dan ayam itik turut dihanyutkan banjir.

    Vietnam sering dilanda ribut tropika yang kerap menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang mengorbankan nyawa.

    Perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia menyebabkan corak cuaca yang lebih ekstrem dan meningkatkan kebarangkalian berlakunya banjir yang merosakkan.

    Minggu lalu, Ribut Tropika Wipha mengorbankan tiga orang dan menyebabkan hampir 4,000 buah rumah di wilayah tengah Nghe An ditenggelami air. – AFP

    Penduduk Vietnam mengangkut motosikal merentasi kawasan banjir di wilayah Nghe An, utara-tengah Vietnam pada 23 Julai lalu, selepas hujan lebat yang dibawa oleh Ribut Tropika Wipha. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda