Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Hujan lebat berlarutan di negara ini telah menyebabkan paras air meningkat di beberapa kawasan rendah dan sering terdedah banjir.
Tinjauan Media Permata ke beberapa kawasan mendapati paras air masih lagi dalam keadaan selamat bagi kawasan Daerah Brunei dan Muara.
Namun ada juga beberapa kawasan yang dilanda banjir namun hanya beberapa jam sahaja, seperti kawasan kompleks bangunan Kiarong.
Satu kejadian pokok tumbang juga telah berlaku di kawasan Bandar Seri Begawan, di mana pokok berkenaan telah menghempap sebuah kereta.
Saksi memberitahu media bahawa sebahagian pokok di tepi jalan kawasan berkenaan telah tumbang dan menghempap sebuah kereta di kawasan berhadapan Hotel Terrace.
Pemandunya dalam keadaan selamat, namun kereta berkenaan mengalami rosak teruk.
Manakala itu, menurut beberapa penduduk di Daerah Tutong, beberapa kawasan di daerah itu sudah dinaiki air akibat sistem saluran air yang kurang baik.
Awang Mohd Yusof bin Haji Mahmud dari Daerah Tutong, mengongsikan bahawa kawasan rumahnya sering dilanda banjir, dan berharap hujan yang turun sejak tengah hari tadi tidak mengakibatkan paras air naik terlalu tinggi.
Walau bagaimanapun, beliau tetap berjaga-jaga dan memindahkan kesemua kereta ke kawasan tinggi untuk langkah berjaga-jaga.
Antara kawasan yang telah dilanda banjir ialah kawasan Kampung Bukit, Masjid Kampung Bukit, Masjid Kampung Tanjong Maya dan banyak lagi.

Ikuti berita lanjut dalam Edisi Jumaat (Media Permata)

