Tuesday, February 11, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir kilat jejas sebahagian kawasan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 24 SEPT – Berikutan hujan lebat yang berterusan melanda negara, beberapa buah kawasan pedalaman dan rendah di daerah ini telah dibanjiri.

    Antara kawasan yang terjejas banjir termasuk jalan dan sekitar kampung Mukim Rambai, Daerah Tutong meliputi Jalan Rambai, Kuala Ungar, Panchong dan Benutan.

    Pemangku Ketua Kampung Merimbun dan Kuala Ungar, Awang Sani bin Nangkat semasa ditemui Media Permata mengongsikan perkembangan terkini banjir di kawasan Kampung Kuala Ungar dan sekitarnya di mana lebih kurang 85 peratus kawasan tanah daratan telah ditenggelami air.

    Jelasnya lanjut, kawasan jalan raya Kuru, terjejas dengan banjir, anggaran jarak 750 meter (m) dengan kedalaman hingga 1.3m dan tidak boleh dilalui kenderaan biasa kecuali menggunakan perahu. Manakala bagi jalan penghubung Rambai-Kuala Ungar, seterusnya terjejas dengan banjir, anggaran jarak 3.5 kilometer dengan kedalaman hingga 1m.

    Awang Sani turut mengongsikan bahawa rumah penduduk Kampung Kuala Ungar dan Kampung Rambai dikira terputus perhubungan jalan raya, disebabkan tidak boleh dilalui kenderaan biasa kecuali kenderaan pacuan empat roda jika keadaan selamat.

    Kejadian banjir di kawasan Kampung Benutan baru-baru ini. – Gambar serahan Awang Sani & Haji Muhammad Hairol
    Antara kawasan rendah yang dilanda banjir. – Gambar serahan Awang Sani & Haji Muhammad Hairol

    Manakala bagi jalan Kuala Ungar ke Simpang 4 Panchong (Jalan Sumsum), terjejas dengan banjir, jarak 600m, kereta jenis salon juga tidak boleh melalui buat masa ini kecuali kereta pacuan empat roda atau kemudahan pengangkutan trak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    “Keadaan paras air setakat 9:30 pagi, hari ini, menunjukkan sedikit meningkat berbanding kelmarin. Setakat hari ini juga sebanyak 10 buah rumah telah terjejas dimasuki air. Bantuan sebuah perahu Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), masih ditempatkan di sebuah rumah yang terjejas banjir jarak 100m dari jalan utama dengan anggaran kedalaman 1.2m. Namun keadaan situasi masih di tahap terkawal secara keseluruhannya,” kongsinya.

    Menyentuh mengenai jumlah rumah dan penduduk yang terjejas banjir khususnya di kawasan Kampung Kuala Ungar, Awang Sani mengongsikan lanjut bahawa pada setakat pagi berkenaan, sebanyak 56 buah rumah terjejas dan 300 orang penduduk telah terkesan secara keseluruhannya.

    Sementara itu, turut berkesempatan dihubungi Media Permata untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan banjir, Pemangku Ketua Kampung Benutan, Haji Muhammad Hairol Mazlan bin Haji Abdul Razak menjelaskan bahawa setakat petang hari ini hampir 95 peratus jalan raya ditenggelami air banjir. Ketinggian banjir bagi sesetengah tempat atau jalan ada yang mencecah secara anggaran 1.5m.

    Walau bagaimanapun perkembangan banjir di kawasan Kampung Benutan ada penurunan sedikit berbanding hari sebelumnya.

    “Pada masa ini, jalan penghubung menuju Kampung Sengkuang masih hanya boleh dilalui oleh kereta pacuan empat roda dan trak. Manakala jalan penghubung menuju ke Kampung Belaban dari kawasan Jambatan Benutan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan kerana ada tempat paras air banjir yang mencecah 1.5m,” ujarnya.

    Secara keseluruhannya seramai 168 orang penduduk yang menetap di Kampung Benutan adalah dalam anggaran 141 orang penduduk dan sebahagian daripada mereka terpaksa menetap sementara di rumah-rumah saudara mara.

    Antara usaha yang telah dilakukan oleh ketua-ketua kampung ialah memaklumkan situasi paras air di kawasan kampung yang mengalami banjir kepada pihak-pihak berkepentingan.

    Pihak Jabatan Daerah Tutong melalui NDMC, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Tutong sentiasa berganding bahu menangani bencana berkenaan.

    “Begitu juga Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) turut memainkan peranan bersama pihak-pihak berkenaan menerusi usaha menyalurkan bantuan catuan barangan kepada mangsa-mangsa yang terjejas meliputi kediaman yang dimasuki air mahu pun yang terputus jalan perhubungan,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda