Oleh Yusrin Junaidi –
BELAIT, 28 JAN – Banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan Daerah Belait baru-baru ini telah menjejaskan perkhidmatan klinik-klinik Hospital Suri Seri Begawan (HSSB).
Antara perkhidmatan klinik yang terjejas ialah Klinik Ortopedik, Klinik Mata, Klinik Telinga, Hidung dan Kerongkong (ENT), Klinik Audiologi, Klinik Dietetik, Klinik Obstetrik dan Ginekologi, serta Klinik Pediatrik.
Klinik-klinik berkenaan akan ditutup sementara waktu dalam tempoh satu hari, tertakluk kepada keadaan cuaca, demi langkah-langkah keselamatan pesakit, pendamping dan orang ramai.
Sehubungan itu, pihak HSSB akan melaksanakan langkah-langkah seperti menutup kawasan-kawasan yang terjejas untuk keselamatan orang ramai, menghubungi pesakit-pesakit yang mempunyai perjanjian pada klinik-klinik yang terjejas dan menjadualkan semula perjanjian mereka pada tarikh lain, serta merawat pesakit yang memerlukan rawatan segera di tempat yang dikhaskan.
Kementerian Kesihatan akan memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini berkenaan dengan situasi di HSSB.
Orang ramai bolehlah menghubungi talian operator 3335331 / 3335332 / 3335333 semasa waktu pejabat Hospital Suri Seri Begawan bagi sebarang maklumat lanjut atau menghubungi Talian Darussalam 123 pada bila-bila masa.