Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir kilat landa pedalaman Tutong

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 28 Feb – Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini menyebabkan beberapa kawasan di pedalaman Daerah Tutong mengalami banjir kilat.

    Antara kawasan yang dikenal pasti terjejas banjir ialah di Kampung Keranching Benutan, Kampung Benutan, Jalan Kuala Unggar/Rambai dan Jalan Bengkuru.

    Mengikut laporan pemantauan air banjir dari Balai Bomba Lamunin, Daerah Tutong, paras air di Kampung Keranching Benutan pagi tadi mencecah 1 meter, Kampung Benutan iaitu di Jalan Benutan dengan paras air 0.50 meter, Jalan Kuala Ungar/ Rambai paras air mencecah 0.26 meter dan Jalan Bangkuru (Mukim Rambai) mencecah 0.97 meter.

    Sehubungan itu, penduduk kampung yang tinggal di pedalaman khususnya yang tinggal di kawasan rendah yang mudah dilanda banjir dinasihatkan supaya bersiap siaga dan bersedia kerana banjir kilat dan paras air didapati meningkat daripada biasa.

    Jawatankuasa Pusat Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Tutong kini memantau paras air di beberapa buah kawasan yang terjejas dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat, Cawangan Lamunin dengan kerjasama penghulu dan ketua kampung serta meletakkan semua pihak dalam keadaan berjaga-jaga.

    Keadaan jalan raya kawasan Rambai yang dilanda banjir kilat.
    Keadaan jalan raya kawasan Rambai yang dilanda banjir kilat.

    Pihak DDMC Tutong turut menasihatkan penduduk kampung dan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan harta benda khususnya dokumen-dokumen penting untuk disimpan di kawasan yang tinggi dan selamat.

    Selain itu, orang ramai juga diharapkan sama-sama menjaga kesejahteraan ahli keluarga masing-masing dan mengelakkan daripada melakukan aktiviti-aktiviti seperti berenang atau bermandi-manda di kawasan banjir demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

    Jika ada berlaku sebarang kecemasan dan keperluan bantuan, orang ramai hendaklah menghubungi talian kecemasan Bomba 115 bagi tindakan selanjutnya bersama agensi-agensi yang berkaitan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda