Wednesday, October 16, 2024
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir kilat landa Pulau Pinang

    GEORGE TOWN, 4 SEPT – Hujan lebat dan angin kuat yang melanda Pulau Pinang pagi ini telah menyebabkan beberapa kawasan termasuk pusat bandar dan perkarangan pusat pentadbiran negeri di Komtar dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan kesesakan teruk.

    Hujan lebat dan angin kuat yang bermula 11 pagi itu turut menyebabkan puluhan pokok tumbang dan banyak bumbung rumah di kawasan daerah Seberang Perai Utara (SPU), dekat sini diterbangkan angin.

    Antara kawasan yang dinaiki air hingga kira-kira 50 sentimeter ialah Jalan Datuk Keramat, Jalan Rangoon, Jalan Magazine, Jalan Transfer, Jalan Anson dan kawasan Tanjong Tokong di bahagian pulau manakala kawasan seberang pula di Bukit Mertajam, Teluk Air Tawar, Pokok Sena serta Kuala Muda.

    Banjir kilat itu dilaporkan surut sepenuhnya kira-kira 12:30 tengah hari manakala pokok-pokok yang tumbang dibersihkan oleh pihak berkuasa tempatan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjit kilat di negeri itu serta ribut yang dilaporkan di beberapa kawasan di SPU.

    “Pihak bomba sedang memantau situasi dari semasa ke semasa dan kebanyakan pokok tumbang telah dialihkan oleh pihak berkuasa tempatan manakala bumbung rumah penduduk yang rosak akibat dilanda ribut akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda