Monday, December 23, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir kilat landa Sepanyol

    BARCELONA, 30 OKT – Beberapa orang dilaporkan hilang oleh pihak berkuasa Sepanyol selepas banjir kilat menghanyutkan kereta di jalan-jalan perkampungan dan mengganggu perkhidmatan kereta api di kawasan besar di timur dan selatan Sepanyol kelmarin.

    Air berlumpur yang deras menyebabkan huru-hara di kawasan besar di negara Eropah itu, dari wilayah Malaga di selatan ke Valencia di timur. Gambar yang diambil oleh orang ramai menggunakan telefon bimbit yang disiarkan semula di penyiar nasional Sepanyol, RTVE menunjukkan air deras menghanyutkan kereta dan naik beberapa kaki ke tingkat bawah rumah.

    Sebuah kereta api laju yang membawa hampir 300 penumpang tergelincir berhampiran Malaga, walaupun pihak berkuasa kereta api berkata tiada kecederaan dilaporkan. Perkhidmatan kereta api laju antara bandar Valencia dan Madrid terganggu, begitu juga beberapa laluan komuter.

    Pejabat kerajaan kebangsaan untuk wilayah Castilla La Mancha memberitahu saluran radio, Cadena Ser bahawa enam orang di wilayah itu dilaporkan hilang.

    Agensi berita Sepanyol, EFE berkata bahawa seorang pemandu lori hilang di L’Alcudia, sebuah bandar di Valencia. Juga di Valencia, datuk bandar Utiel, Ricardo Gabaldon, memberitahu RTVE bahawa beberapa orang terperangkap di rumah mereka.

    Polis dan perkhidmatan penyelamat menggunakan helikopter untuk mengangkat orang ramai dari rumah dan kereta yang berisiko tenggelam. Pasukan penyelamat kecemasan tentera Sepanyol turut dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat.

    Ribut dijangka berterusan hingga esok, menurut perkhidmatan cuaca kebangsaan Sepanyol.

    Sepanyol telah mengalami ribut musim luruh yang serupa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Negara itu telah pulih sedikit daripada kemarau teruk tahun ini berikutan hujan. Para saintis mengatakan bahawa peningkatan kejadian cuaca ekstrem mungkin dikaitkan dengan perubahan iklim. – AP

    Kereta dihanyutkan air, selepas banjir didahului hujan lebat menyebabkan sungai melimpahi tebingnya di bandar Alora, Malaga pada 29 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda