JOHANNESBURG, 26 DIS – Pasukan penyelamat meneruskan usaha pencarian mayat hari ini selepas banjir kilat melanda sebuah bandar di Afrika Selatan yang mengorbankan enam orang dengan 10 lagi masih hilang, kata pegawai.
Hujan lebat yang melanda Ladysmith lewat malam Ahad telah menghanyutkan beberapa kereta dari jalan utama dan memerangkap orang ramai di dalam rumah, kata pihak berkuasa wilayah KwaZulu Natal.
Skop bencana itu hanya diketahui lewat kelmarin, kata seorang jurucakap. “Pada masa ini, kami mempunyai enam orang yang disahkan maut dan 10 orang masih hilang. Operasi mencari diteruskan semula,” kata jurucakap itu kepada AFP.
Tiga mayat ditemui dalam bas mini yang membawa sembilan penumpang. Enam yang lain masih hilang, kata jurucakap itu.
Satu mayat ditemui dalam sebuah rumah yang musnah sepenuhnya manakala dua yang lain juga terperangkap di dalam dan masih belum ditemui.
Sekurang-kurangnya dua orang lagi terbunuh selepas terperangkap di dalam kereta mereka akibat banjir yang dibawa arus sungai Bellspruit. Ribut lebih teruk dijangka melanda wilayah itu hari ini. – AFP


