YANGON, 6 OGOS – Sekurang-kurangnya enam maut selepas banjir kilat melanda bandar Laiza di utara Myanmar, yang terletak di sempadan dengan wilayah Yunnan, China, menurut jurucakap kumpulan bersenjata yang menguasai kawasan itu, hari ini.
Banjir mula berlaku sejak awal pagi Isnin, apabila air berlumpur setinggi pinggang membanjiri jalan-jalan utama di Laiza kubu kuat Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA) yang telah lama menguasai wilayah etniknya sendiri dan menjadi antara kumpulan paling berpengaruh dalam perang saudara Myanmar.
“Air turun dari kawasan pergunungan menuju ke sungai dengan arus yang sangat deras sehingga memusnahkan kawasan di sekitarnya,” kata jurucakap KIA, Naw Bu.
Beliau mengesahkan enam kematian akibat banjir itu dan memaklumkan bahawa lebih 100 rumah turut musnah.
Operasi menyelamat telah dimulakan hari ini, namun menghadapi kesukaran berikutan kerosakan teruk pada laluan utama.
“Semua jalan rosak dan ada yang lenyap sama sekali,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali atas faktor keselamatan. ‘Air naik secara mendadak’. – AFP


