BANGKOK, 7 OKT – Banjir kilat di kawasan tumpuan pelancong Thai yang popular di Chiang Mai telah mengorbankan tiga orang, kata seorang pegawai kesihatan kelmarin, ketika pengunjung berpindah dari hotel dengan meredah air berlumpur setinggi lutut.
Dua ekor gajah turut lemas dalam air banjir yang semakin meningkat di utara bandar itu, kata tempat perlindungan gajah, kelmarin.
Di tengah-tengah Chiang Mai, orang ramai mengharungi banjir di bazar malam, dan air turut mengalir ke stesen kereta api pusat, yang kini telah ditutup.
Media tempatan melaporkan beribu-ribu warga emas dan kanak-kanak yang terlantar di katil memerlukan makanan dan pemindahan selepas Sungai Ping mencatatkan paras air tetinggi Sabtu lalu.
Bagaimanapun, paras air telah surut sedikit kelmarin, kata pihak berkuasa.
Saritdet Charoenchai, seorang pegawai kesihatan awam, berkata tiga orang telah terbunuh, terdiri daripada seorang lelaki berusia 44 tahun yang terkena renjatan elektrik dan seorang wanita berusia 33 tahun maut dibenam lumpur.
Lebih 80 orang telah berpindah ke pusat perlindungan, katanya, kerana hampir belasan pusat perubatan ditutup akibat paras air tinggi, tambahnya. – AFP