HANOI, 1 OGOS – Banjir kilat melanda kawasan pergunungan di utara Vietnam pada malam kelmarin, meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa manakala sembilan lagi dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa bencana hari ini.
Hujan lebat sehingga 30 sentimeter direkodkan di wilayah Son La, Phu Tho, Tuyen Quang dan paling teruk terjejas, Dien Bien, menyebabkan beberapa komuniti terputus hubungan.
Kementerian Pertanian Vietnam mengesahkan tiga kematian dan sembilan individu masih hilang di kawasan komun Tia Dinh dan Xa Dung, wilayah Dien Bien.
Media kerajaan memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan yang mengatakan hujan mula turun dengan lebat sekitar jam 3 pagi, sekali gus mencetuskan banjir kilat dari kawasan hulu.
Beberapa kampung ditenggelami air dan masih belum dapat diakses sehingga petang tadi.
Pada hujung minggu lalu, banjir kilat turut membunuh lima orang di wilayah Son La, selain memusnahkan tanaman serta haiwan ternakan seperti ayam dan lembu.
Vietnam kini berada dalam musim taufan tropika yang sering membawa banjir dan tanah runtuh yang meragut nyawa.
Saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia menyebabkan corak cuaca menjadi semakin ekstrem, sekali gus meningkatkan risiko banjir yang lebih teruk.
Pada September 2024, Taufan Yagi membadai utara Vietnam, mengorbankan 345 orang serta mengakibatkan kerugian ekonomi dianggarkan mencecah AS$3.3 bilion. – AFP


