BUCHAREST, ROMANIA, 29 JULAI – Hujan lebat berterusan melanda Romania pada malam Ahad hingga pagi kelmarin, menyebabkan banjir kilat di kawasan timur laut negara itu dan meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa, menurut pihak berkuasa.
Ratusan penduduk terpaksa dipindahkan, manakala perkhidmatan penyelamat Romania dikerahkan ke kawasan paling terjejas, iaitu Neamt dan Suceava.
Helikopter dan pasukan bomba digunakan untuk menyelamatkan penduduk, termasuk mereka yang terperangkap dalam rumah akibat air naik mendadak.
Menurut Jabatan Situasi Kecemasan, seramai 890 orang telah dipindahkan dari daerah Neamt sahaja.
Seorang lelaki berusia 66 tahun ditemui maut di dasar sebatang sungai di bandar Neagra. Dua wanita yang sebelum ini dilaporkan hilang juga ditemui maut.
Pihak berkuasa turut menyebarkan gambar-gambar yang menunjukkan arus deras berlumpur menghanyutkan kenderaan rosak dan serpihan bangunan serta rumah yang mengalami kerosakan teruk. – AP


