Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada pada penghujung fasa separuh pertama monsun timur laut, yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, di mana negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.
Berikutan kejadian hujan sekali-sekala lebat dan berangin kencang yang berlaku kelmarin, banyak kawasan telah terjejas hingga mencetuskan banjir kilat terutama di beberapa kawasan di Daerah Tutong dan Belait.
Stesen Cuaca Automatik Kebangsaan Kuala Belait dan Sungai Liang masing- masing telah merekodkan jumlah turunan hujan sebanyak 424mm dan 230.8mm.
Manakala Stesen Cuaca Automatik Kebangsaan Benutan telah merekodkan jumlah turunan hujan sekitar 108.2mm.
Walau bagaimanapun, jumlah turunan hujan yang direkodkan di Stesen Kajicuaca Lapangan Terbang Antarabangsa, Stesen Cuaca Automatik Kebangsaan Anggerek Desa dan Bandar Seri Begawan adalah lebih rendah di mana masing-masing merekodkan 41.7mm, 70.8mm dan 28.2mm.
Mengikut data air pasang surut dari Jabatan Ukur, kelmarin, keempat-empat daerah mengalami air pasang seperti di Pelabuhan Muara mencatat ketinggian air pasang 2.4m pada pukul 9 hingga 11 malam.
Manakala Sungai Brunei mencatat air pasang 2.7 meter pada pukul 10 malam hingga 12 pagi, Sungai Temburong pula mencatat 2.4m pada pukul 11 malam.
Sementara Sungai Tutong mencatat air pasang 1.7m dari pukul 9 hingga 10 malam, Sungai Belait pula mencatat 1.8m dari pukul 9 hingga 11 malam.
Keadaan yang sama dengan cuaca aktif dijangka berterusan hingga hujung bulan Januari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala, menjejaskan kebanyakan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu pagi dan malam serta di kawasan pedalaman negara pada waktu petang dengan kelajuan angin sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana hingga bergelora, antara satu sehingga tiga meter.
Ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau boleh hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram Brunei Weather.