HANOI, 25 JULAI – Banjir kilat dan tanah runtuh akibat hujan lebat telah mengorbankan tujuh orang di utara Vietnam serta menghanyutkan rumah, menurut pegawai bencana dan media tempatan, hari ini.
Lima orang terkorban di Son La manakala dua lagi maut di Dien Bien selepas hujan lebat melanda kawasan tersebut.
Pasukan penyelamat kini giat mencari 10 orang yang dilaporkan hilang di wilayah pergunungan, tambah pegawai.
Menurut akhbar Tuoi Tre, banjir kilat pada awal pagi tadi telah menghanyutkan 10 rumah dan memusnahkan lapan rumah dalam komuniti Muong Pon di wilayah Dien Bien.
Hujan lebat telah membadai wilayah utara Vietnam sejak Selasa dan banyak kawasan, termasuk pinggir ibu negara Hanoi, dipenuhi air banjir berlumpur.
Antara Jun dan November, Vietnam sering dilanda hujan lebat yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh.
Namun, para saintis memberi amaran bahawa kejadian cuaca melampau di seluruh dunia kini telah menjadi semakin kerap dan lebih teruk akibat perubahan iklim.
Pada pertengahan Julai, tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat telah mengorbankan 11 orang yang sedang menaiki van di wilayah Ha Giang utara.
Tahun lalu, bencana alam telah menyebabkan 169 orang terkorban atau hilang di negara Asia Tenggara itu. – AFP


