HANOI, 7 OGOS – Banjir kilat dan tanah runtuh telah mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang di seluruh utara Vietnam, kata pegawai-pegawai bencana hari ini.
Selepas berbulan-bulan gelombang panas dan kemarau yang berpanjangan, hujan lebat yang bermula pada awal Ogos telah merosakkan ratusan rumah dan memusnahkan tanaman-tanaman.
Lapan orang, termasuk sekurang-kurangnya dua orang kanak-kanak, terbunuh minggu lalu di wilayah pergunungan utara Yen Bai, Lai Chau, Son La dan Thai Nguyen, kata pihak berkuasa kawalan bencana yang berpangkalan di Hanoi menerusi laporan dalam talian.
Media kerajaan menyiarkan gambar rumah-rumah runtuh ke dalam air berlumpur dan jalan-jalan terhalang atau terbelah oleh tanah runtuh dan pokok tumbang.
Akses kepada beberapa komuniti etnik pergunungan telah terputus.
Tanah runtuh juga melanda bahagian tengah negara. – AFP