KINABATANGAN, 8 APRIL – Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya dengan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam, yang beroperasi sejak Rabu lepas ditutup pada 2 petang tadi.
Pegawai Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah itu berkata semua 146 mangsa melibatkan 31 keluarga yang berlindung di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas pemeriksaan mendapati kawasan serta kediaman penduduk selamat untuk didiami.
“Selaras dengan pandangan dan cadangan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinabatangan iaitu hasil pemantauan lapangan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan serta Angkatan Pertahanan Awam Kinabatangan, saya mengisytiharkan bahawa pusat pemindahan sementara itu ditutup pukul 2 petang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Willey berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinabatangan menetapkan penyambungan semula bekalan elektrik ke kawasan yang terkesan banjir pada 9 April ini.
Beliau berkata perkara itu bagi mengelakkan kemudaratan kepada penduduk di kawasan terjejas terutama Kampung Pangkalan.
Pada 2 April lepas, Kinabatangan diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan berterusan dan kenaikan paras air sungai ke tahap bahaya.
Kinabatangan terletak di bahagian timur Sabah, kira-kira 306 kilometer dari Kota Kinabalu. – Bernama
