Saturday, July 6, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Banjir landa China, ribuan dipindah

    BEIJING, 3 JULAI – Hampir suku juta penduduk terpaksa dipindahkan di timur China ketika hujan lebat melanda sebahagian besar wilayah negara, menyebabkan Sungai Yangtze dan sungai-sungai lain melimpah, lapor media rasmi hari ini.

    China telah mengalami keadaan cuaca ekstrem dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk hujan lebat dan gelombang haba yang melampau.

    Negara itu merupakan penyumbang utama gas rumah hijau, yang menurut saintis, menyumbang kepada perubahan iklim dan menjadikan peristiwa cuaca ekstrem lebih kerap dan lebih kuat.

    Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan ribut tersebut telah menjejaskan 991,000 penduduk di wilayah Anhui dan memaksa pemindahan 242,000 penduduk pada petang kelmarin.

    “Setakat jam 4 petang kelmarin, hujan lebat telah menjejaskan 36 daerah dan kawasan di tujuh bandar peringkat wilayah di Anhui,” lapor Xinhua, memetik jabatan pengurusan kecemasan wilayah.

    Foto udara yang diambil pada 2 Julai menunjukkan pemandangan tanah paya di tepi Sungai Yangtze di Hankou di Wuhan, Wilayah Hubei tengah China. – Xinhua

    Paras air di Sungai Yangtze, sungai terpanjang di China, di wilayah Anhui telah melepasi tanda amaran dan masih meningkat.

    Hujan lebat juga menyebabkan paras air di 20 sungai dan enam tasik lain di wilayah tersebut melepasi tahap amaran.

    Rakaman di penyiar rasmi CCTV hari ini menunjukkan sebahagian Sungai Yangtze naik amat tinggi sehingga hampir menutupi sebuah arca di bandar Wuhu yang biasanya berdiri kira-kira 12 meter di atas paras air.

    Imej menunjukkan sukarelawan yang membawa payung dalam jaket merah mengawasi tepi sungai dan menyimpan jaket keselamatan serta pelampung berwarna merah terang di tepi pantai.

    Lebih 100 milimeter hujan direkodkan di ratusan stesen cuaca di seluruh Anhui antara jam 5 petang pada Isnin hingga petang kelmarin, menurut Xinhua. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...