Saturday, November 30, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: Lapan maut, puluhan ribu terpaksa pindah

    KUALA LUMPUR, 29 NOV – Banjir yang melanda utara Malaysia dan selatan Thailand telah meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa dan memaksa puluhan ribu orang meninggalkan kediaman mereka, kata pihak berkuasa di kedua-dua negara hari ini.

    Lebih 80,000 orang telah dipindahkan ke 467 pusat perlindungan sementara di Malaysia minggu ini, dengan empat kematian dilaporkan di negeri-negeri utara Kelantan, Terengganu dan Sarawak, menurut pegawai bencana.

    Di Thailand, banjir telah menyebabkan dua kematian di wilayah Pattani dan dua lagi di wilayah Songkhla, menurut kenyataan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana di laman Facebook mereka.

    Lebih daripada 240,000 keluarga di Thailand selatan terjejas akibat banjir, susulan hujan lebat yang berterusan.

    Gambar dari Pattani menunjukkan air pada paras lutut di hadapan kedai yang tertutup, sementara pasukan penyelamat sedang memindahkan beberapa penduduk menggunakan bot.

    Pusat Komando Bencana Kebangsaan Malaysia berkata bahawa mereka telah menggerakkan pasukan untuk membantu operasi menyelamat di negeri-negeri yang terjejas.

    Pejabat cuaca di kedua-dua negara meramalkan hujan lebat akan berterusan sehingga esok. Banjir adalah fenomena tahunan di Malaysia dan selatan Thailand.

    Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi berkata kelmarin bahawa banjir kali ini ‘dijangka lebih teruk berbanding 2014,’ tahun di mana kira-kira 118,000 orang melarikan diri dari rumah mereka, menurut agensi berita rasmi Bernama.

    Beribu-ribu kakitangan perkhidmatan kecemasan telah dikerahkan ke negeri-negeri yang mudah dilanda banjir bersama dengan bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda dan helikopter, kata Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara. – AFP

    Pemandangan keadaan banjir di Bandar Baru Tunjung, Kelantan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda