TRIPOLI, 25 SEPT – Ketua pendakwa raya Libya hari ini telah mengarahkan penahanan lapan pegawai sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap bencana banjir baru-baru ini yang mengakibatkan ribuan kematian, kata pejabatnya.
Banjir kilat yang disamakan dengan bencana tsunami oleh beberapa saksi itu telah melanda kawasan Derna, sebuah bandar pelabuhan di timur Libya, pada 10 September lalu.
Banjir itu berlaku selepas ribut kuat melanda kawasan tersebut dan memecahkan dua empangan yang lama.
Menurut kenyataan daripada pejabat pendakwa raya, pegawai-pegawai yang ditahan disyaki terlibat dalam ‘pengurusan yang teruk’ dan kecuaian. Mereka dikatakan berkhidmat ketika ini atau sebelum ini di pejabat yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber air dan empangan.
Pada Sabtu lalu, angka kematian rasmi melebihi 3,800 dan kumpulan bantuan antarabangsa berkata 10,000 atau lebih masih hilang.

Selepas membuka siasatan, pendakwa raya Libya Al-Seddik al-Sur berkata lebih seminggu lalu bahawa dua empangan di hulu Derna dad telah retak sejak 1998.
Walau bagaimanapun, usaha membaikinya yang bermula pada 2010 oleh sebuah syarikat Turkiye telah dihentikan selepas beberapa bulan berikutan revolusi Libya yang terjadi pada 2011.
Kerja pembaikan tersebut tidak pernah dilanjutkan selepas itu dan tidak pernah disambung semula, kata pendakwa raya pada 16 September, bersumpah untuk menangani mereka yang bertanggungjawab.
Revolusi yang berlaku pada 2011, yang disokong oleh NATO, menjatuhkan diktator Muammar Gaddafi dan membawa kepada lebih satu dekad permulaan dan pengakhiran konflik.
Libya kini terbahagi antara pentadbiran di Tripoli yang diiktiraf secara antarabangsa di bahagian barat dan pentadbiran di bahagian timur yang terjejas oleh banjir tersebut. – AFP