Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: Lebih 100 ekor gajah dipindah

    BANGKOK, 4 OKT – Lebih 100 ekor gajah di utara Thailand telah dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi akibat air banjir yang semakin meningkat, lapor media tempatan, tetapi banyak haiwan lain masih terperangkap ketika tempat perlindungan mereka berhadapan masalah untuk memindahkannya, hari ini.

    Pengarah Taman Alam Gajah di wilayah Chiang Mai, Saengduean Chailert, telah menyiarkan video gajah yang panik semasa melalui perairan berlumpur dan meminta kerajaan untuk menghantar bantuan segera.

    “Air banjir semakin teruk berbanding sebelum ini. Seluruh kawasan dinaiki air. Seluruh kampung dinaiki air… Sekarang ini, kami tiada tempat untuk berlindung,” tulisnya di media sosial.

    Gambar dan video menunjukkan air keruh mengalir melalui Taman Alam Gajah ketika kakitangan dan sukarelawan membawa anjing dalam selimut dan meletakkan sangkar pada tayar getah untuk mengangkut haiwan ke tempat yang selamat.

    Taman tersebut terletak di bawah naungan Yayasan Selamatkan Gajah, salah satu pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) terbesar bagi pemuliharaan gajah di Thailand.

    Salah seorang pegawai yayasan itu memberitahu AFP, selain 126 gajah, terdapat kira-kira 5,000 haiwan termasuk anjing, kucing, lembu, khinzir dan arnab terperangkap dalam banjir.

    Media tempatan melaporkan lebih daripada 100 orang kakitangan dan sukarelawan berjaya membawa 117 ekor gajah ke kawasan lebih tinggi dengan selamat.

    Banjir besar telah melanda kawasan utara Thailand ketika hujan lebat baru-baru ini menyebabkan Sungai Ping mencecah paras ‘yang kritikal’ kelmarin, daerah yang melaporkan banjir terburuk dalam 80 tahun, menurut pejabat daerah. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda