SEOUL, 18 JULAI – Pekerja menyelamat menemui mayat terakhir dan menamatkan operasi mencari di jalan bawah yang dibanjiri di Korea Selatan di mana lebih 12 orang maut dalam kejadian yang kini menjadi subjek siasatan rasmi.
Korea Selatan berada di puncak musim tengkujuh musim panas, dan hujan lebat berhari-hari telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh, dengan sungai melimpahi tebingnya dan takungan serta empangan pecah. Lebih banyak hujan diramalkan dalam beberapa hari akan datang.
Kementerian Dalam Negeri berkata 41 orang terbunuh dan sembilan lagi masih hilang di seluruh negara dalam hujan lebat, kebanyakannya tertimbus dalam runtuhan tanah atau jatuh dalam takungan dibanjiri.
Operasi mencari dan menyelamat di terowong 430 meter di Cheongju, wilayah Chungcheong Utara, berakhir lewat semalam selepas penyelamat menemui mayat terakhir, katanya.
Terowong itu ditenggelami pada pagi Sabtu selepas air banjir mengalir terlalu cepat sebelum kenderaan di dalam terowong sempat keluar.
Sebanyak 17 kenderaan, termasuk sebuah bas, terperangkap dan 14 orang terbunuh, kata Kementerian Dalam Negeri.
Terowong itu akan ditutup untuk pemeriksaan tambahan sebagai sebahagian daripada siasatan punca kejadian maut itu, tambahnya. – AFP


