Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir monsun di Gujarat ragut 28 nyawa

    AHMEDABAD, INDIA, 29 OGOS – Hujan monsun lebat dan banjir di negeri Gujarat, India mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang dalam tempoh tiga hari lalu, sebahagiannya lemas dan yang lain dihempap ​​pokok tumbang, kata pegawai-pegawai kerajaan.

    Jabatan cuaca memberi amaran lebih banyak hujan lebat dijangka hari ini di negeri pantai barat itu.

    Sungai-sungai melimpah dan lebih 30,000 orang meninggalkan rumah mereka.

    Kerajaan negeri berkata, lewat kelmarin bahawa 13 orang maut akibat lemas dan selebihnya akibat rumah roboh atau pokok tumbang menimpa mereka.

    Akhbar Indian Express berkata bahawa 35 orang telah meninggal dunia setakat ini di seluruh negeri itu.

    Seorang lelaki membawa barangnya dengan meredah jalan yang dinaiki air selepas hujan lebat di pinggir Ahmedabad pada 28 Ogos. – AFP

    Kira-kira 1,856 orang diselamatkan oleh pegawai-pegawai bencana dan tentera yang dikerahkan untuk operasi bantuan.

    Vadodara adalah antara bandar yang paling teruk terjejas, kata kenyataan akhbar itu.

    Sambungan elektrik terjejas teruk, dengan kira-kira 1,000 kampung bergelut tanpa bekalan elektrik.

    Imej-imej dan video yang dikeluarkan oleh pegawai-pegawai bencana menunjukkan mereka menggunakan bot kembung dan tayar untuk menyelamatkan orang yang terkandas oleh air banjir.

    Hujan menyebabkan kemusnahan yang meluas setiap tahun, tetapi pakar-pakar mengatakan bahawa perubahan iklim mengubah corak cuaca dan meningkatkan bilangan kejadian cuaca ekstrem.

    Negeri Tripura di timur laut India dilanda banjir dan tanah runtuh minggu lalu, dengan lebih 20 orang terbunuh.

    Di negara jiran Bangladesh, hilir dari India, banjir mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang dalam tempoh yang sama, dengan hampir 300,000 penduduk berlindung di pusat perlindungan kecemasan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda