Banjir musim panas semakin teruk

SHANGHAI, 13 JULAI – Banjir di seluruh tengah dan timur China telah mengakibatkan lebih 140 orang terkorban atau hilang dengan sungai-sungai utama dan tasik melimpah hingga ke paras tertinggi, ketika pihak berkuasa memberi amaran kejadian buruk kelak akan berlaku.

Banjir musim panas sudah menjadi kesengsaraan tahunan sejak zaman purba, terutamanya bertumpu di kawasan lembangan ramai penduduk, yang telah membanjiri tengah China.

Hujan lebat yang hampir berterusan sejak lewat Jun telah membanjiri sebahagian besar kawasan itu, menjejaskan 37.89 juta penduduk dan memusnahkan 28,000 buah rumah, menurut jumlah rasmi dikeluarkan kerajaan pusat.

Turunan hujan semakin bertambah lebat sejak minggu lalu, menyebabkan air meningkat tinggi dan kerajaan mempertingkatkan amaran.

Kira-kira 33 batang sungai telah mencecah paras tertinggi dan amaran telah dikeluarkan terhadap 433 sungai, kata pegawai dari Kementerian Sumber Air semasa taklimat di Beijing hari ini.

Penyiaran video dari media kerajaan China pada hujung minggu menunjukkan bandar-bandar dan kota dibanjiri air yang meningkat di beberapa kawasan hingga ke bumbung rumah setingkat, ketika kakitangan penyelamat memindahkan lelaki, wanita dan kanak-kanak menggunakan bot dingi.

Di kawasan lain, rumah-rumah musnah akibat tanah runtuh yang berpunca dari air tepi bukit, sementara pekerja menggunakan pengorek untuk membuat tetambak bagi membendung limpahan banjir.

Wilayah-wilayah yang teruk terjejas adalah Jiangxi, Hubei dan Hunan di tengah China, Anhui, Zhejiang dan Jiangsu di timur negara, dan bandar mega di Chongqing, kata pihak berkuasa. – AFP

Orang ramai membina benteng antibanjir dekat jalan yang dibanjiri di Jiujuang di wilayah Jiangxi, tengah China pada 13 Julai. – AFP